"Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan"


  -Saidina Ali Bin Abi Thalib

Oleh itu, janganlah anda merasa rugi untuk membelanjakan sedikit daripada harta (wang) anda untuk mendapatkan ilmu. Teman-teman.... marilah dapatkan sumber ilmu yang bermanfaat di sini dan marilah kita sampaikan kepada sahabat-sahabat kita. Moga-moga kita sama-sama memperolehi keberkatan daripadanya.
Jika ada kesilapan dan sebagainya...harap anda dapat memberi teguran dan panduan. Kesilapan itu datangnya daripada kelemahan dan kesilapan saya sendiri... kesempurnaan dan kebaikan itu pula  hanya datang daripada Allah semata-mata.

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan:
“kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:
“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan. Muhasabah dari sudut syarak pula bererti perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan."  [Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”

                                                                                                      (Surah Al-Kahfi: 2)
Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…" .[Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".
Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)”

                                                                                                    (Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amal yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…"

                                                                   (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:

"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut." [Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."


Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:

"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya. Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.
Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

Sumber: http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/298

Pandangan Orang Beriman Terhadap Kematian

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah Berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya" (Surah Ali 'Imran, 185)

Kematian akan datang kepada setiap manusia yang ada di dunia pada waktu yang telah ditetapkan sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud, "Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)". (Surah al-'Ankabut: 57)
Harta, status, kekayaan, kemasyhuran dan kemegahan yang manusia miliki tidak ada yang dapat mencegah kematian. Kematian adalah hukum Allah; tiada siapa pun yang dapat lari dari kenyataan mutlak dan tidak dapat dielakkan ini. Sepertimana dalam ayat, "Di mana jua kamu berada, maut pasti akan menjemput kamu (bila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…" (Surah an-Nisa': 78) yang mengingatkan kita tiada sesiapa pun yang berjaya melepaskan diri daripada kematian.
Kebenaran ini adalah perkara yang orang beriman perlu mendapatkan pemahaman yang mendalam. Sekali mereka mengerti tentang pastinya dan dekatnya kematian, mereka perlu mempersiapkan diri untuk kehidupan selepas mati. Mereka yang takut pada ambang maut sebelum sempat menyempurnakan tuntutan Allah sebagai hamba-Nya dan mendapatkan keredhaan-Nya, akan menganut agama Aallah dengan penuh keikhlasan dan keghairahan. Menyedari akan kematian yang akan menjemput pada bila-bila masa membuatkan mereka tidak membuang masa dalam mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan keredhaan-Nya. Berikut adalah doa orang beriman seperti yang terkandung di dalam al-Quran:
... Wahai Tuhan yang menguasai langit dan bumi, Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh. (Surah Yusuf: 101).
Orang yang beriman, menerima kematian dengan penuh penyerahan kerana ia adalah hukum Allah. Selain itu, mereka menganggap kematian sebagai gerbang untuk mendapatkan syurga. Pada masa yang sama, mereka tidak pernah lupa bahawa mereka mesti berusaha untuk mengelakkan hukuman neraka dan mendapatkan keredhaan Allah. Orang beriman tidak pernah berhenti daripada berasa takut dan harap sehingga mereka menemui ajal. Mereka mengharapkan syurga kerana yakin dan mereka juga takut akan neraka kerana merasakan diri mereka tidak pernah sempurna.
Dahsyatnya rasa sakit dan azab di neraka tidak dapat dibandingkan dengan kesakitan di dunia. Seksaan api neraka juga pelbagai. Penghuni neraka sentiasa berteriak minta diselamatkan daripada api neraka, berdesakan di dalam tempat yang sempit, tangan terikat ke leher dan meronta-ronta kesakitan. Mereka dicambuk dengan cambuk besi. Kelaparan dan kehausan mereka tidak tertahankan dan kesakitan mereka tidak akan pernah reda. Keadaan yang dahsyat ini diburukkan lagi dengan penyesalan yang mendalam, rasa putus asa dan keterdesakan. Mereka berharap untuk lenyap buat selama-lamanya tetapi sia-sia sahaja. Mereka ini disebutkan seperti berikut:
Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya kepada kamu, kerana kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang telah kamu kerjakan. (Surah at-Tur: 16).

Orang yang beriman sentiasa merenungkan seksaan neraka seperti yang digambarkan di dalam al-Quran dan kembali kepada Allah. Seorang yang mempunyai kesempurnaan iman juga sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa dia boleh, pada bila-bila masa, berada di ambang maut dan terus ke alam akhirat. Keputusannya, tingkah laku, sikap dan cara dia bercakap menggambarkan kecekalannya untuk melayakkannya ke syurga dan terhindar dari api neraka kerana tidak ada seorang pun di dunia yang terlepas daripada balasan Allah.
Sedar akan “neraca keadilan” (Surah al-Anbiya': 47) akan diadakan pada Hari Pengadilan, dia tidak mahu terlepas sebesar zarah pun kebaikan. Allah memberi amaran kepada manusia tentang perkara ini sebagai berikut:
Pada hari itu, manusia akan berbondong-bondong keluar (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka balasan amalan mereka. Maka sesiapa yang berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nesacaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya)! (Surah az-Zalzalah: 6-8).
Begitu juga jika dia benar-benar menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kemurkaan Allah, kerana setiap tindakan yang dilakukannya akan mendekatkan dirinya sama ada ke syurga atau ke neraka. Tidak ada tempat selain kedua-dua tempat ini.
Orang beriman yang tahu akan hakikat ini terus merasa “takut dan harap” sepanjang hidup mereka. Mereka tidak pernah lupa pada keadaan orang yang menanti untuk dibawa ke syurga atau neraka pada Hari Pengadilan nanti.
Bagaimana agaknya kelakuan seseorang yang berada di persimpangan syurga dan neraka pada ketika ini dan menyedari bahawa kehidupan yag abadi akan bermula dengan sungguh-sunguh selepas diadili?
Berada tepat di ambang neraka, adakah dia berani menunjukkan sikap yang tidak menyenangkan, yang terus akan diambil kira?
Tentu tidak! Sebaliknya, sesiapa pun dalam keadaan yang mengerikan ini akan membuat apa saja untuk mendapatkan syurga dan akan mengeluarkan kebijaksanaannya dan nuraninya untuk menunjukkan kelakuan yang sangat menyenangkan Allah. Bahkan seorang yang tidak pernah bersungguh-sungguh dalam hidupnya pun dan merasakan Hari Pengadilan jauh dari hidupnya, akan merasa sangat panik dan berusaha untuk memperbetulkan kesalahannya. Akan tetapi, pada hari itu, tiada masa yang diberikan untuk menebus kembali kesalahannya. Waktu yang diberikan berakhir dengan kematian dan hasil catatan diputuskan. Sejak saat itu, tidak ada sesiapa yang dibalas melainkan bagi apa yang telah dilakukannya.
Orang yang mempunyai kesempurnaan iman, memiliki keyakinan yang teguh pada hari akhirat, syurga dan neraka dan membiarkan fikiran sibuk mengingati mati, dikira sebagai usaha yang tidak pernah putus. Demi mengelakkan ketakutan dan penyesalan di hari Akhirat, mereka menganggap diri mereka sedang menanti keputusan Allah pada Hari Pengadilan pada setiap detik kehidupan mereka. Mereka menyediakan diri untuk kehidupan selepas mati dengan nurani yang bersih dan iman, dengan berkelakuan seperti mereka yang pernah melihat dengan mata sendiri keindahan syurga dan kedahsyatan azab neraka dan kembali ke dunia. Oleh itu, dalam setiap keadaan, mereka berusaha menunjukkan sikap yang terbaik, kerana mereka tahu setiap kejahatan dan kebodohan akan meletakkan mereka dalam penyesalan yang tiada penawarnya.
Kesimpulannya, lafaz keyakinan mereka yang beriman memastikan mereka komited mendekatkan diri kepada Allah dan berdiri kerana takut kepada-Nya. Dalam ayat, "Maka bertakwalah kamu kepada Allah mengikut kesanggupanmu…" (Surah at-Taghabun: 16) dijelaskan, orang beriman takut akan Allah lebih daripada segalanya dan sangat mengharapkan balasan syurga.

Dipetik daripada terjemahan Artikel Harun Yahya

TUNTUTAN PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Petikan khutbah
اَلْحَمْدُ لله الْقَآئِل:
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

 
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ صَلاَةً وَسَلاَمًا دَائِمَيْنِ مُتَلاَزِمَيْنِ إِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسلِمُوْنَ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian marilah kita meningkatkan takwa kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita semua menjadi manusia beriman yang memiliki kualiti modal insan salih.
Sempena dengan bermulanya sesi persekolahan tahun baru 2008, maka minbar yang mulia ini, ingin mengambil kesempatan untuk mengupas tentang tajuk “Tuntutan Pendidikan Sepanjang Hayat”.


MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah ayat 1 hingga 5 surah al-‘alaq. Perintah iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ kepada Nabi S.A.W, adalah isyarat betapa Islam memberikan perhatian yang cukup besar tentang kepentingan ilmu dalam menentukan darjat manusia.
Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”

Ketika menggesa umat Islam mengambil perhatian mengenai peringatan Allah itu, Rasulullah SAW bersabda:

                                              " طَلَبُ الْعلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلى كُلِّ مُسْلِمٍ. "

Maksudnya: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam"

                                                                                        ( Riwayat Imam Ibnu Majah)

Selari dengan tuntutan Islam, maka kerajaan sedaya upaya berusaha menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat. Pada setiap tahun bidang pendidikan mendapat peruntukan yang kedua terbesar selepas Kementerian Pertahanan. Dalam bajet tahun 2008, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 bilion perbelanjaan kepada Kementerian Pelajaran dan RM12 bilion untuk Kementerian Pengajian Tinggi. Perbelanjaan itu adalah meliputi program pengajian yang berkaitan dengan program pengajian pengurusan dunia dan juga progran yang berkaitan dengan akhirat. Kedua-dua program pengajian ini adalah bermanfaat kepada masyarakat Islam bagi menghadapi persaingan dengan kaun yang lain samada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan agama kerajaan telah melancarkan program kemahiran Jawi, Al-Quran dan Bahasa Arab (J-Qaf) yang dijangka melibatkan 10,000 orang guru agama di samping mengekalkan program pendidikan Islam sedia ada. Di samping itu, kerajaan juga terus menyediakan Kelas Asas Pendidikan Fardhu Ain (KAFA) untuk pelajar-pelajar sekolah rendah yang menelan belanja RM214 juta setahun. Apa yang nyata kerajaan sentiasa berusaha memperseimbangkan kemajuan program pendidikan yang berasaskan pengurusan dunia dan juga akhirat.


MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Selari dengan permulaan musim persekolahan ini, maka Minbar yang mulia ingin mengingatkan bahawa pendidikan bukan hanya berlaku di sekolah. Pendidikan sebenarnya bermula segera setelah anak lahir dan akan berterusan sehingga manusia meninggal dunia. Pada dasarnya sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan bersama dengan ibubapa. Ibubapa atau keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama bagi proses pembelajaran seorang individu sekaligus meletakkan dasar pembentukan keperibadian anak. Pendidikan anak diperolehi terutama melalui interaksi antara ibubapa dan anak. Ketika berinteraksi dengan anaknya, ibubapa akan menunjukkn sikap dan perlakuan tertentu terhadap anak-anaknya. Oleh itu bagi menentukan kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dengan pembelajaran di rumah, maka ibubapa perlu dari masa ke semasa menyemak dan menyiasat kemajuan pendidikan dan disiplin anak-anak.

Berdasarkan pemerhatian terdapat perkaitan yang kuat bahawa besar penglibatan ibubapa dalam memajukan pendidikan anak-anak, maka besar pulalah kejayaan anak-anak dalam pendidikan. Dengan demikian Ibubapa tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada sekolah dan guru-guru sahaja dalam menentukan kejayaaan anak-anak. Ibubapa hendaklah memainkan peranan dan kerjasama rapat dengan pihak pengurusan sekolah.

MUSLIMIN YANG DIKASIHI SEKELIAN

Satu lagi pihak yang turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti modal insan selepas ibu-bapa ialah guru-guru. Kadang kala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibubapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sesebuah sekolah. Sebagai langkah positif, maka ibubapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan dan kepercayaan besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar-pelajar mereka masing-masing.
Oleh itu kita berharap khususnya ibubapa jangan mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat lapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin keras ke atas pelajar. Kita yakin tindakan tegas guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak pelajar agar sedia berubah menjadi insan yang berguna. Jika guru-guru bersikap sambil lewa dan tidak tegas dalam mengawal disiplin pelajar kerana takutkan ibu-bapa, maka ia akan merugikan ibu-bapa dan pelajar itu sendiri.
Apa yang nyata, Islam memberi pengiktirafan yang besar terhadap peranan guru-guru kerana guru memberi sumbangan yang besar dalam penyebaran ilmu kepada setiap jenerasi. Rasululah menyifatkan mereka yang menyebarkan ilmu itu adalah orang yang mewarisi tugas-tugas kenabian. Rasulullah bersabda:

                          " الْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ. "

Maksudnya: "Para ulama itu adalah pewaris para Nabi."

                                            (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)


MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH

Pada hari ini kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah hingga bilangannya amat mengejutkan terutama sekali muda mudi kita dan pelajar-pelajar dalam pelbagai peringkat. Ini menunjukkan wujud tanda positif bahawa kesedaran menuntut ilmu semakin meningkat samada mereka dari bandar atau luar bandar. Berdasarkan kesedaran meningkat ini, maka kita melihat wujud persaingan sengit untuk mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat pertambahan orang mengejar ilmu dari masa ke semasa?. Allah SWT menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkarkan demi kemanfaatan manusia. Lantaran itulah maka Allah menjadikan manusia yang dibekalkan akal menjadi khalifah di muka bumi ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30 :

Ertinya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini”.
Sesungguhnya Allah S.W.T. menciptakan bumi ini untuk manusia, untuk ditadbir dengan sebaik-baiknya sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah. Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab dan berkewajipan menguruskan muka bumi untuk kebaikan kita sendiri, manusia, haiwan, alam sekitar dan planet-planet lain yang berkaitan. Ingatlah! Mentadbir muka bumi ini bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan. Menguruskan alam merupakan amanah berat yang harus dipikul dan kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T.

Di samping itu manusia adalah makhluk yang tumbuh dan berkembang. Ia ingin mencapai satu tahap kehidupan yang selesa. Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan berjalan terus. Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti sahaja malah berlaku pada sepanjang hayat. Sebab itu kita melihat ramai tokoh-tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang telah berjaya dalam kerjaya terus membaca dan menjadi ulat buku bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara.


MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,

Sesungguhnya banyak kelebihan bagi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Antaranya dapat menghindarkan diri dari kejahilan, dapat membezakan antara yang benar dan tidak tidak benar. Selain itu segala kerja dan amalan yang dilaksanakannya tidak sia-sia malah beroleh keredhaan Allah S.W.T serta memberi faedah kepada dirinya dan manfaat kepada orang lain.

Dalam hubungan ini, Nabi junjungan kita pernah bersabda mengenai tiga amalan yang sentiasa berterusan. Sabda Rasulullah S.A.W:


إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ  أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ.

Maksudnya: "Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang ditinggalkannya atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang mendoakannnya".

                                                                                               (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini memberi peringatan besar kepada umat Islam khususnya ibubapa bahawa membekalkan atau mewariskan ilmu pengetahuan menjadi saham terpenting dan amat bernilai kepada anak-anak untuk meneruskan survival mereka pada masa akan datang di dunia global yang penuh mencabar.
Mengakhiri khutbah, mimbar yang mulia ini menyeru, marilah sama-sama kita berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Jadikanlah ia sebagai warisan generasi kita. Berbanggalah kita dengan menjadikan ilmu sebagai tuntutan sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai matlamat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan berilmu insyaAllah kita menjadi umat yang cemerlang di mata dunia dan juga di akhirat nanti.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Sumber daripada JAKIM

Hadis-hadis mengenai ilmu

Dari Anas r.a: Rasulullah s.a.w bersabda:

“ Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri Cina, kerana menuntut ilmu itu wajib atas setiap
orang Islam. Dan sesungguhnya para malaikat itu menghamparkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka tuntut”.

                                                                                            Hadis Riwayat Al Bara
 
 
Daripada Anas r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w:
“Barangsiapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali ”.


                                                                                            Hadis Riwayat At Tirmizi
 
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w:
“Belajarlah ilmu fardu ain dan al-Quran, dan ajarkanlah akan dia kepada orang lain, kerana aku akan meninggal dunia”.


                                                                                             Hadis Riwayat At Tirmizi
 
 
Daripada Abdullah Bin Amru r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda:

“Hakikat ilmu itu tiga perkara, maka yang lain daripadanya adalah sesuatu yang tidak ada faedahnya. Pertama ayat yang jelas. Kedua sunnah Nabi s.a.w yang ditegakkan (amalkan). Ketiga kewajipan yang adil”.

                                                                                            Hadis Riwayat Abu Daud